Saturday 10 May 2014

200 anggota penentang Syria ditahan


HOMS, Syria 9 Mei - Kira-kira 270 anggota kumpulan penentang Syria yan diberi jaminan keselamatan keluar dari bandar ini selepas satu perjanjian damai antara kerajaan dan penentang dimeterai, kelmarin ditahan oleh pihak tentera kerajaan di sini, semalam selepas kumpulan itu gagal memenuhi perjanjian mereka.
Bagaimanapun, kumpulan penentang kerajaan bertindak balas di wilayah Aleppo dengan mengebom sebuah hotel mewah yang dijadikan pangkalan tentera, menyaksikan sekurang-kurangnya 14 askar kerajaan terbunuh dalam letupan itu.
Kira-kira 1,000 anggota kumpulan penentang dilaporkan telah meninggalkan bandar Homs di bawah satu rundingan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang bermula kelmarin, menurut statistik yang diberikan gabenor wilayah itu, Talal Barazi.
Bagaimanapun, tujuh buah bas yang membawa kumpulan penentang itu terpaksa ditahan selepas satu kumpulan pergerakan Islam yang tidak diketahui enggan membenarkan bantuan makanan dihantar kepada dua bandar penduduk Syiah di wilayah itu, lapor Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria.
Menurut Talal, bas itu ditahan oleh sebuah lagi kumpulan pergerakan Islam di pintu utara Old City tanpa mereka memberi sebarang sebab yang jelas.
Pengarah Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria, Rami Abdel Rahman berkata, kum­pulan Islam mengehadkan kemasukan bekalan makanan ke kawasan Zahraa dan Nabol kepada dua trak berbanding 12 yang dipersetujui oleh kerajaan dan penentang dalam perjanjian itu yang tidak disertai kumpulan pergerakan Islam tersebut.
Tindakan itu, sama sekali bertentangan dengan terma perjanjian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang memberikan kebenaran kepada pa­sukan bantuan menghantar bekalan makanan di dua kawasan tersebut.
Sementara itu, portal berita Al Jazeera melaporkan, satu letupan besar berlaku di Hotel Carlton meranapkan bangunan hotel yang dijadikan oleh pihak tentera sebagai pangkalan mereka termasuk beberapa bangunan berhampiran hotel tersebut mengalami kerosakan.
Penentang daripada kumpulan Barisan Islam difahamkan menanam sejumlah besar bahan letupan di dalam terowong yang mereka gali di bawah hotel itu dan meletupkannya menggunakan alat kawalan jauh. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140510/lu_03/200-anggota-penentang-Syria-ditahan#ixzz31G8sgCoP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment