Thursday 1 May 2014

PBB enggan bantu Syria tanpa kebenaran kerajaan


GAMBAR bertarikh 27 April 2014 yang dikeluarkan oleh Pusat Media Aleppo (AMC) menunjukkan beberapa anggota penyelamat membawa keluar mayat kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan udara tentera Syria di Aleppo, Syria. - AGENSI
NEW YORK 30 April - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menolak gesaan untuk memberi bantuan kemanusiaan merentasi sempadan negara Syria tanpa mendapatkan kebenaran daripada kerajaannya di Damsyik.
PBB berkata, operasi bantuan itu hanya boleh dilaksanakan dengan satu resolusi yang lebih kukuh di bawah Majlis Keselamatan.
Ini berikutan desakan berpuluh-puluh peguam dari seluruh dunia menerusi satu surat kepada PBB yang menyatakan, tidak ada undang-undang yang menghalang pertubuhan antarabangsa menyampaikan bantuan merentasi sempadan negara atau memberi bantuan kepada pertubuhan lain untuk tujuan sama.
Lebih 150,000 penduduk Syria terbunuh dalam krisis perang saudara negara tersebut dalam tempoh tiga tahun, manakala kira-kira 2.5 juta rakyat menjadi pelarian dan sembilan juta lagi terperangkap dalam negara itu tanpa bantuan.
Menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric, keputusan PBB itu sejajar dengan piagam­nya bahawa sebarang pertubuhan yang mahu menjalankan sebarang aktiviti dalam sesebuah wilayah perlu mendapatkan kebenaran kerajaan negara itu.
“Tanggungjawab utama terhadap penduduk yang kini berada dalam situasi sukar itu terletak pada bahu kerajaan Syria dan penentang yang terlibat dalam krisis negara tersebut," katanya.
Minggu lalu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon men­dakwa, kedua-dua pihak kerajaan serta penentang Syria tidak meme­nuhi permintaan PBB bagi mendapatkan akses bantuan kemanusiaan, di samping mendesak Majlis Keselamatan bertindak ke atas negara itu atas kesalahan melanggar undang-undang antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, kumpulan bantuan kemanusiaan di Syria kecewa dengan tindakan PBB terhadap krisis kemanusiaan terbesar di dunia itu serta menuduh organisasi antarabangsa tersebut tidak memberi maklumat yang diperlukan bagi membantu jutaan rakyat Syria. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140501/lu_12/PBB-enggan-bantu-Syria-tanpa-kebenaran-kerajaan#ixzz30Pa0qWbe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment