Sunday 11 May 2014

Penentang Bashar mengaku kalah


SEBAHAGIAN penduduk kembali ke Kota Lama, di bandar Homs, Syria kelmarin.


HOMS - Ratusan penduduk Syria kembali semula ke Kota Lama di Homs sejak kelmarin dengan berjalan di celah-celah runtuhan bangunan dan kediaman mereka selepas kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad bersetuju untuk meninggalkan bandar itu menerusi satu perjanjian.
Setiap bangunan di kota tersebut mengandungi lubang peluru dan bedilan meriam selepas ia menjadi lokasi pertempuran hampir dua tahun.
Kota Lama itu dikepung hampir dua tahun dalam peperangan saudara yang meletus di Syria sejak Mac 2011.
Ramai orang yang kembali ke kota itu berada dalam keadaan penuh emosi kerana mereka hampir tidak dapat mengenal pasti lagi tempat tinggal masing-masing yang dipenuhi lubang-lubang akibat tembakan senjata api dan meriam serta sebahagian lagi mengalami kemusnahan teruk.
"Suami saya pergi ke rumah kami dan mendapati ia telah musnah. Dia datang semula ke rumah itu untuk mengambil barang-barang kami," kata Rima Battah, 37, di daerah Hamidiyeh, Bandar Lama.
Puluhan keluarga turut melakukan perbuatan yang sama dengan suami Rima.
Mereka mengambil barang-barang yang masih boleh digunakan di rumah masing-masing yang musnah akibat konflik di Syria.
"Kami sebelum ini mempunyai apartmen baharu tetapi kini semuanya telah musnah," kata seorang wanita.
Gabenor Homs, Talal Barazi memberitahu agensi berita SANA, kawasan Kota Lama kini selamat dan bebas daripada senjata api dan kumpulan penentang.
Menurutnya, keadaan itu berlaku disebabkan pengorbanan yang dilakukan anggota-anggota tentera Syria untuk membebaskan kota tersebut daripada golongan penentang.
Stesen televisyen kerajaan menunjukkan kebanjiran penduduk ke Kota Lama dan mereka mengucapkan terima kasih kepada tentera dan Bashar kerana berjaya mewujudkan situasi selamat.
Sebelum ini, Bashar mengumumkan pilihan raya Presiden akan diadakan pada 3 Jun depan.
Syria dilanda konflik sejak Mac 2011 selepas sebahagian penduduk bangkit menentang pemerintahan Bashar yang dianggap tidak demokratik dan korup.
Lebih 150,000 orang dilaporkan terbunuh dalam peperangan saudara itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0511&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz31LwOjg6f 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment