Monday 23 June 2014

Syria gempur pemberontak ISIL


Anggota Pasukan Operasi Khas Iraq (ISOF) mengambil kedudukan semasa operasi memburu militan ISIL di kawasan kediaman di Ramadi pada 13 Jun lalu. - REUTERS
AMMAN 22 Jun - Sebanyak 16 orang terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi cedera apabila pesawat tentera Syria menyerang satu kawasan di timur negara itu yang bersempadan dengan Iraq yang dikuasai pemberontak daripada Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) semalam, tindakan diambil oleh Damsyik selepas kumpulan militan itu mengukuhkan kedudukan mereka di negara itu.
Tentera Syria melancarkan lima serangan ke atas kawasan kediaman di bandar Muhassan, 100 kilometer dari Iraq, sehari selepas pemimpin puak di bandar itu menyertai ISIL.
ISIL Syria mengambil alih bandar Muhassan, Albulil dan Albouomar, apabila ia mara ke timur negara ini ketika kumpulan militan itu di Iraq melancarkan serangan di utara negara itu.
Pesawat perang Syria dilihat berlepas dari lapangan terbang tentera Deir al-Zor untuk mengebom beberapa kawasan yang dikuasai ISIL.
"Tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad mahu menghukum bandar seperti Muhassan yang menyokong ISIL. Pengeboman ini merupakan cara untuk membantu Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki memusnahkan ISIL,'' kata seorang penyokong ISIL, Abdullah al-Mashour di Muhassan.
ISIL yang cuba menguasai Deir al-Zor yang kaya dengan minyak dan bersempadan dengan Iraq, kini mara untuk menguasai keseluruhan wilayah tersebut.
Di Iraq, tentera hari ini turut melancarkan serangan udara di Tikrit, utara Iraq yang dikuasai ISIL, menyaksikan sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh.
Sebuah televisyen tempatan melaporkan serangan tentera itu menjadikan kumpulan militan berkenaan sebagai sasaran dan mengorbankan kira-kira 40 orang, dan saksi menyatakan sebuah stesen minyak menjadi sasaran dalam serangan tersebut. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140623/lu_05/Syria-gempur-pemberontak-ISIL#ixzz35PSKtXwN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment