Thursday 19 June 2014

Tentera Syria serang kem pelarian, 20 maut


Beberapa orang penduduk di Syria membantu operasi mencari mangsa yang terperangkap selepas kawasan kem pelarian diserang pesawat pejuang tentera Syria di sempadan Jordan yang mengorbankan 20 orang. - AFP
BEIRUT 18 Jun - Serangan helikopter tentera Syria ke atas sebuah kem pelarian di sempadan Jordan hari ini, mengakibatkan 20 orang terbunuh termasuk lapan daripadanya kanak-kanak, dua hari selepas 60 orang terbunuh akibat serangan bom tong di Aleppo.
Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman melaporkan, tujuh orang termasuk tiga wanita turut cedera dalam serangan itu yang dilancarkan ke atas Kampung Shajara di selatan negara tersebut.
Rami berkata, serangan itu dilancarkan ketika keganasan di wilayah Daraa semakin merebak apabila kumpulan penentang menguasai beberapa kawasan dalam tempoh beberapa bulan lalu.
"Kesemua mangsa yang terbunuh merupakan orang awam yang menjadi pelarian dari wilayah Daraa," katanya.
Dua hari lalu, helikopter tentera Syria menggugurkan dua tong bom ke atas sebuah pasar di Aleppo, menyebabkan 60 orang terbunuh termasuk sejumlah kanak-kanak.
Rangkaian berita Al-Jazeera yang memetik kenyataan seorang penduduk tempatan, Abu Mohammad melaporkan, ramai orang berada di pasar yang terletak di daerah al-Sukari untuk menunggu bantuan makanan diagihkan ketika serangan dilancarkan.
"Dua bom digugurkan ke kawasan tersebut dalam tempoh beberapa minit menyebabkan penduduk yang sedang membantu mangsa cedera, turut terkorban.
"Tiada pangkalan tentera di kawasan ini dan hanya terdapat orang awam," kata Abu, sambil mempersoalkan tindakan tentera melancarkan serangan ke atas penduduk tempatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140619/lu_06/Tentera-Syria-serang-kem-pelarian-20-maut#ixzz3527qa1KF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment