Tuesday 26 August 2014

Pengganas: 17 dipenjara sehingga 33 tahun di Arab Saudi

SELASA, 26 OGOS 2014 @ 9:09 AM

 
RIYADH: Mahkamah Khas Arab Saudi menjatuhi hukuman antara sembilan hingga 33 tahun terhadap 17 rakyatnya kerana menyertai 'rangkaian pengganas' di negara itu serta di luar negara.

Agensi berita tempatan SPA hari ini melaporkan, kumpulan berkenaan didapati bersalah kerana 'menerima ideologi ekstremis, ingkar dengan perintah pihak berkuasa dengan melakukan perjalanan ke luar negara serta menyertai 'rangkaian pengganas'.

Kumpulan berkenaan juga menghubungi anggota pertubuhan pengganas, menubuhkan media untuk membantu dan membiayai aktiviti keganasan, demikian menurut satu kenyataan yang merujuk kumpulan berkenaan sebagai al-Qaeda.

Semua 17 lelaki berkenaan juga dituduh memiliki senjata dan bahan letupan untuk melakukan kekacauan terhadap pihak keselamatan.

Mereka adalah sebahagian kumpulan yang besar mengandungi 67 orang yang menghadapi tuduhan yang sama di mahkamah khas itu.

Pada Julai 2011, Arab Saudi memulakan siri pendakwaan terhadap mereka yang terbabit dengan keganasan dan membantu rangkaian al-Qaeda.

Pada Februari lalu, Raja Abdullah mengeluarkan perintah iaitu hukuman penjara sehingga 20 tahun kepada warga negara itu yang ke luar negara untuk berjuang terutama ketika tercetusnya konflik di Syria yang menarik beberapa ratus golongan muda negara itu keluar berjihad. - AFP

No comments:

Post a Comment