Saturday 1 November 2014

IS dakwa rampas telaga minyak di Syria


BEIRUT – Militan Negara Islam (IS) mendakwa berjaya mengambil alih telaga minyak di wilayah Homs selepas bertempur dengan tentera kerajaan Syria kelmarin.
Beberapa gambar yang dimuat naik di laman sosial oleh kumpulan IS menunjukkan telaga minyak Sha’ar yang dikuasai mereka selain mayat tentera Syria dan rampasan senjata api, menurut laman web SITE.
Laporan menyebut, IS turut merampas lima kereta kebal, dua kenderaan tempur tentera serta sejumlah mesingan dan peluru.
Menurut Pengarah Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia, Rami Abdulrahman, IS telah mengawal hampir keseluruhan telaga minyak tersebut lewat kelmarin tetapi pertempuran dengan tentera Syria masih berterusan di beberapa bahagian lain.
Katanya, serangan ke atas telaga minyak itu dilakukan pada Rabu lalu dan menyebabkan sekurang-kurangnya 30 tentera Presiden Bashar Al-Assad terbunuh.
Sementara itu, media Syria pula melaporkan berpuluh-puluh anggota IS turut terbunuh dalam pertempuran berkenaan.
IS mula merampas telaga minyak milik kerajaan Syria sejak Julai lalu dan membunuh hampir 350 kakitangan kerajaan, anggota tentera dan pengawal keselamatan, menurut badan pemantau berkenaan.
Sementara itu, Amerika Syarikat menjelaskan, serangan ke atas kumpulan militan IS dilakukan tanpa sebarang penyelarasan dengan Presiden Syria, Bashar al-Assad.
– Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3HlmSukm1 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment