Monday 17 March 2014

Tentera Syria kuasai bandar Yabrud


DAMSYIK 16 Mac - Tentera Syria, hari ini menguasai bandar Yabrud, benteng pertahanan kumpulan penentang kerajaan ketika negara ini memasuki tahun keempat perang saudara yang telah meragut lebih 146,000 nyawa serta berjuta-juta penduduk terpaksa berpindah dan menjadi pelarian.
Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria melaporkan, tentera turut menerima bantuan daripada pergerakan Hezbollah yang merupakan sekutu tentera Syria dalam usaha tersebut.
Sumber tentera berkata, 13 ketua penentang terbunuh di samping ramai anggota penentang kerajaan turut terkorban dalam operasi itu.
Stesen televisyen tempatan yang melaporkan dari pinggir bandar itu berkata, pasukan tentera telah memasuki bandar itu sejauh dua kilometer dan sedang menuju ke sebuah bulatan.
Yabrud merupakan pusat dan laluan utama penentang kerajaan bagi mendapatkan bekalan serta benteng pertahanan terakhir dalam wilayah Qalamun di sepanjang sempadan Lebanon dan lebuh raya antara Damsyik dan bandar Homs.
Kumpulan penentang yang menguasai sebahagian besar Syria kini berhadapan serangan balas tentera dan kumpulan pelampau yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda.
Dalam pada itu, Ketua Gabungan Kebangsaan Syria, Ahmed Jarba, semalam mendesak pihak antarabangsa menyediakan peralatan senjata seperti yang dijanjikan sebelum ini.
“Kami meminta supaya rakan-rakan Syria menunaikan janji mereka untuk membekalkan senjata berkualiti kepada kumpulan penentang.
“Pejuang kami bukan sahaja berdepan tentera kerajaan, tetapi juga kumpulan pelampau, terutamanya Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL)," katanya ketika berucap di Istanbul, Turki.
Kumpulan penentang kerajaan gagal mencapai kata sepakat dengan wakil kerajaan dalam rundingan damai di Geneva, Switzerland, bulan lalu, manakala Presiden Syria, Bashar al-Assad kini bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya Presiden yang dijangka diadakan pada Jun ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140317/lu_04/Tentera-Syria-kuasai-bandar-Yabrud#ixzz2wAMag600
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment