Friday 19 September 2014

Pentagon latih pemberontak Syria


Sukarelawan Syiah yang membantu tentera Iraq menentang kumpulan militan IS menjalani latihan ketenteraan di padang pasir di wilayah Najaf pada 16 September lalu. - REUTERS
WASHINGTON 18 Sept. - Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) memberi lampu hijau untuk melaksanakan pelan yang memberi kebenaran kepada Pentagon untuk melatih dan menyalurkan bantuan senjata kepada kumpulan pemberontak di Syria, sebagai usaha memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS).
Pelan tersebut hanya akan berkuatkuasa sepenuhnya jika Dewan Senat meluluskan usul tersebut pada hujung minggu ini.
Pelan itu juga akan mengenepikan cadangan Pengerusi Ketua-Ketua Turus Tentera AS, Jeneral Martin Dempsey yang mendedahkan rancangan Washington untuk membantu tentera Iraq melancarkan serangan darat bagi menawan semula kebanyakan kawasan di utara negara itu yang dikuasai militan IS.
Bagaimanapun pelan berkenaan mendapat tentangan daripada segelintir wakil Parti Demokrat dan Parti Republikan, yang khuatir AS akan terjerumus dalam kancah peperangan di Iraq sekali lagi selepas menceroboh negara itu pada 2001 untuk menggulingkan Presiden Saddam Hussein.
Malah pelan yang dikemukakan itu akan mengheret sejumlah pegawai tentera AS menyertai barisan hadapan perang ke atas IS, walaupun Presiden Barack Obama sebelum ini berikrar memastikan tiada rakyat negara ini terlibat dalam peperangan di Iraq.
Wakil Demokrat dan Republikan turut menyuarakan keraguan terhadap strategi White House dan kemampuan pasukan keselamatan Iraq dan Syria untuk memerangi IS, selain mempersoalkan sama ada Obama mempunyai kuasa untuk melancarkan operasi jangka panjang.
Lebih 1,600 penasihat tentera AS dikerah membantu pasukan keselamatan Iraq.
Obama tidak membenarkan tenteranya terlibat dalam operasi di darat dan hanya melancarkan serangan udara ke atas kedudukan IS.
AS telah melancarkan lebih 160 serangan udara ke atas sasaran IS di Iraq dan Obama turut meluluskan tindakan yang sama ke atas kubu kuat militan itu di Syria. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140919/lu_03/Pentagon-latih-pemberontak-Syria#ixzz3Di6PQvGj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment