Friday 6 March 2015

34 maut di Aleppo

Beirut: Sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh semalam apabila kumpulan penentang melancarkan serangan besar-besaran terhadap markas perisikan tentera udara Syria di Aleppo, sehari selepas mereka menolak rancangan gencatan senjata yang dikemukakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bandar berkenaan.
Kumpulan pemantau hak asasi Syria berkata, 20 daripada yang terbunuh itu ialah anggota tentera Syria yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad sementara 14 lagi penentang.
“Matlamat serangan ialah menyerang bangunan markas perisikan dan menguasainya. Bagaimanapun, mereka gagal,” kata Rami Abdel Rahman, pengarah kumpulan pemantau yang berpejabat di Britain itu.
Enam orang awam juga maut dalam serangan berasingan penentang terhadap kawasan yang dikuasai rejim Bashar.
Serangan semalam bermula dengan letupan kuat dalam sebuh terowong berhampiran bangunan perisikan itu.
“Mereka meletupkan terowong yang mereka gali dan kemudian melancarkan serangan di kawasan sekitar markas perisikan tentera udara itu,” kata sumber tentera Syria.
Anggota kumpulan penentang lain kemudian menyerang bangunan itu yang sebahagiannya sudah runtuh akibat letupan terdahulu.
Serangan itu dipatahkan dengan bantuan serangan udara oleh tentera Syria terhadap kedudukan penentang.
Sekutu al-Qaeda di Syria, Barisan Al-Nusra, berkata dalam Twitter, anggotanya dan beberapa pejuang kumpulan penentang lain, terbabit dalam serangan berkenaan, yang paling buruk berlaku di Aleppo sejak penentang menolak cadangan gencatan senjata PBB untuk menghentikan pertempuran.
Pertempuran di Aleppo meletus sejak pertengahan 2012 dan penguasaan terhadap bandar yang sebelum itu pernah menjadi pusat komersial Syria, kini terbahagi kepada penentang di timur dan penyokong Bashar di barat.
Ibu pejabat perisikan tentera udara di bandar berkenaan adalah kawasan strategik bagi tentera Bashar dan kawasan sekitarnya berulang kali menjadi sasaran serangan penentang.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:32 AM


SEORANG anggota pertahanan awam cuba memadamkan kebakaran pada sebuah kenderaan di kawasan yang menjadi sasaran serangan bom tong oleh tentera Bashar di Aleppo, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34990#sthash.zK60mGvJ.dpuf

No comments:

Post a Comment