Monday 30 March 2015

IS berkembang sejak serangan udara AS - Assad

BASHAR (kanan) ketika ditemubual Charlie Rose dalam rancangan 60 Minutes CBS. - Foto AP

WASHINGTON: Presiden Syria, Bashar al-Assad, berkata dalam satu temubual televisyen Amerika Syarikat, bahawa keanggotaan IS yang menawan sebahagian besar kawasan di Syria dan Iraq, bertambah sejak pakatan yang diketuai AS melancarkan serangan udara terhadap kumpulan itu.
Ditanya manfaat yang diperolehnya daripada serangan udara di Syria yang bermula September tahun lalu, Assad memberitahu rancangan 60 Minutes CBS: "Ada kalanya anda meraih manfaat kecil tetapi jika mahu dibincangkan dari segi IS, ia sebenarnya berkembang sejak serangan udara itu."
Assad yang memerangi kumpulan penentang sejak 2011 berkata dalam temubual yang disiarkan awal pagi tadi bahawa IS menarik penyertaan 1,000 rekrut sebulan di Syria.
"Di Iraq, mereka berkembang, juga di Libya dan banyak lagi negara lain. Pertubuhan gabungan al-Qaeda menyatakan taat setia kepada IS. Itulah situasi sekarang," kata Assad.
Washington berusaha mendapatkan penyelesaian perang saudara di Syria dengan mengenepikan Assad tetapi menegaskan keutamaannya di Syria ialah memerangi militan IS.
Ditanya apakah situasi yang membolehkan beliau melepaskan kuasa, Assad berkata: "Apabila saya tidak mendapat sokongan rakyat. Apabila saya tidak mewakili kepentingan dan nilai Syria."
Menjawab soalan bagaimana beliau menentukan sokongan rakyat Syria, Assad berkata: "Saya tidak menentukannya. Saya merasainya. Saya berhubung dengan mereka." - Reuters

No comments:

Post a Comment