BAGHDAD - IRAQ . Kerajaan Iraq, semalam melancarkan kempen besar-besaran untuk menyingkirkan kumpulan militan IS dari wilayah Salahuddin dan Anbar.
 
Kementerian Pertahanan memaklumkan pasukan tentera bersama angkatan kumpulan bersenjata telah memulakan operasi tersebut di wilayah Anbar termasuk menyekat laluan yang menghantar bantuan bekalan kepada IS.
 
"Sekurang-kurangnya 15 anggota IS terbunuh dalam pertempuran di kawasan al-Harariat. Pasukan keselamatan turut berjaya memusnahkan kira-kira 30 bahan letupan dan 10 jerangkap samar," kata jurucakapnya.
 
Dalam satu kenyataan lain, Perdana Menteri Heidar al-Abadi mengesahkan bahawa kedua-dua wilayah tersebut telah dikepung sehari selepas mereka mara untuk merampas semula Ramadi.
"Matlamat utama tentera adalah untuk menguasai semula pusat bandar dalam masa beberapa hari lagi," katanya.
 
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Syria juga dilaporkan melancarkan kempen ketenteraan untuk memerangi IS yang menawan bandar purba Palmyra di tengah wilayah Homs pada minggu lalu.
 
"Lebih 160 serangan udara dilancarkan dan telah memusnahkan senjata serta kenderaan milik IS. Sasaran bedilan tersebut turut diperluaskan di sekitar kawasan al-Suknah, dan al-Hail. Lebih 50 anggota IS maut dalam operasi itu," menurut jurucakap tentera. - Press TV