Pendedahan itu dibuat wakil PBB, Zainab Bangura yang melawat Iraq dan Syria pada April lalu, dan sejak itu mengusahakan satu pelan tindakan bagi menangani jenayah seksual yang dilakukan kumpulan militan IS.
“Ini merupakan satu perang ke atas tubuh wanita,’’ katanya.
Wakil PBB itu telah bercakap dengan wanita dan kanak-kanak perempuan yang terselamat daripada cengkaman IS di kawasan yang dikuasai kumpulan militan itu termasuk pemimpin agama tempatan, pemimpin politik serta melawat kem pelarian di Turki, Lebanon, dan Jordan.
Anggota kumpulan militan IS berterusan membuka pasaran hamba menjual kanak-kanak perempuan yang diculik semasa melancarkan serangan, namun jumlah mangsa yang dijadikan hamba tidak diketahui.
“Mereka menculik dan melarikan wanita di kawasan yang ditawan, malah mereka juga mempunyai stok gadis baharu.
“Kanak-kanak dijual pada harga serendah sekotak rokok sehingga ratusan atau ribuan dolar,’’ katanya.
Bangura turut mendedahkan pengalaman pahit yang dialami beberapa remaja perempuan kebanyakannya etnik Yazidi yang menjadi mangsa kumpulan militan IS.
“Beberapa orang remaja perempuan Yazidi dikurung di dalam bilik di sebuah rumah kecil dengan lebih 100 perempuan sebelum dibogelkan dan dijual sebagai hamba,’’ katanya. – AFP