BEIRUT - LEBANON. Seramai 49 orang awam terbunuh termasuk enam kanak-kanak dalam serangan udara tentera kerajaan Syria di sebuah bandar di Idlib, Syria semalam.

Menurut laporan AFP, serangan tersebut tepat mengenai bandar Al-Janudiyah yang berada di bawah kawalan tentera pemberontak.

"Kawasan tersebut adalah kawasan tumpuan awam, ramai (orang awam) berada disana kerana adanya kedai-kedai," kata Pengarah Pemerhati Hak Asasi Syria, Rami Abdel Rahman.

Katanya, pelarian dari beberapa kawasan juga menjadikan Al-Janudiyah sebagai tempat perlindungan.

"Tentera rejim melancarkan roket dari pesawat," jelasnya lagi.

Sebuah video yang dirakam aktivis dimuatnaik ke laman video Youtube,  menunjukkan kemusnahan dan huru-hara akibat serangan berkenaan, selain kerosakan dan mayat mangsa yang berselerakan.

Pihak berkuasa tempatan juga dilihat membantu dalam operasi menyelamat dan menggunakan jentera untuk mencari mangsa terperangkap disebalik runtuhan bangunan.

Al-Janudiyah yang berada di bawah pengaruh pemberontak sejak 2013 baru-baru ini jatuh ke tangan jaringan Al-Qaeda, Al-Nusra Front.

Walaupun kekurangan posisi di bandar berkenaan, tentera rejim berterusan melancarkan serangan udara, termasuk penggunaan bom tong yang dikecam kumpulan hak asasi manusia.