Thursday 15 October 2015

Moscow dakwa IS hampir kalah


Moscow: Negara Islam (IS) dilapor berada di ambang kekalahan selepas sejumlah besar senjata, kenderaan berat dan kelengkapan perang musnah akibat serangan udara Russia.

Kumpulan militan itu yang menguasai sejumlah besar wilayah di Iraq dan Syria dikatakan menjadi sasaran serangan berterusan Russia sejak hampir tiga minggu lalu.

“Serangan udara di Syria menyebabkan kemusnahan besar senjata, kenderaan besar dan kelengkapan perang IS. Kumpulan itu mengaktifkan semua logistik mereka untuk mengangkut senjata dan minyak dari wilayah Raqqa,” dakwa Kementerian Pertahanan Russia di Moscow.

Stesen televisyen RT yang dibiayai kerajaan Russia mendakwa, komunikasi yang dipintas menunjukkan panglima IS mengancam berundur kecuali bekalan senjata tiba.

Minggu lalu, pegawai perisikan melaporkan anggota IS panik dan melarikan diri dari medan tempur ekoran pengeboman pesawat Russia.

“Mereka tidaklah seberani yang disangka. Mereka kini mahu menyelamatkan diri,” kata sumber tentera Russia.

Pemimpin Barat, termasuk Presiden Amerika Syarikat dan Perdana Menteri Britain David Cameron mendakwa serangan Russia di Syria memburukkan keadaan dan hanya untuk membantu menyelamatkan Presiden Bashar al-Assad.

Bagaimanapun Presiden Russia Vladimir Putin mendakwa Barat cemburu dengan kejayaan negaranya.

“Mereka memerangi keganasan, tetapi hasilnya tidak ada,” kata Putin mengenai kritikan pemimpin Barat terhadap pembabitan negaranya di Syria.

Putin dilapor baru-baru ini bersiap untuk menghantar 150,000 tentera darat bagi menawan Raqqa, yang diisytihar IS sebagai ibu negaranya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 8:24 AM

KARIKATUR dari sebuah akhbar Saudi menyindir Presiden Syria, Bashar al-Assad.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85290#sthash.uBRfzUWq.dpuf

No comments:

Post a Comment