Monday 23 November 2015

Rusia lancar serangan berat


SEORANG lelaki memeriksa kemusnahan akibat serangan udara Rusia di bandar Nawa, wilayah Deraa di Syria kelmarin. - REUTERS


BEIRUT – Rusia melancarkan serangan bom paling besar terhadap kumpulan militan Islamic State (IS) di timur Syria, manakala operasi ketenteraan itu memaksa Lebanon mengubah laluan penerbangannya.
Pesawat perang Rusia melancarkan lebih 70 serangan di wilayah Deir Ezzor, timur Suyria pada Jumaat lalu yang membunuh sekurang-kurangnya 36 orang termasuk 10 kanak-kanak, kata Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.
Kumpulan berpangkalan di Britain itu mendakwa serangan terbabit mengenai beberapa bandar dan pekan di samping tiga telaga minyak IS, dalam operasi pengeboman terbesar di wilayah berkenaan sejak perang saudara di Syria tercetus pada 2011.
Kebanyakan kawasan di wilayah tersebut, termasuk sebahagian besar ibu negerinya, dikuasai oleh IS. Tentera Syria bagaimanapun masih menguasai lapangan terbang tentera dan beberapa kawasan kecil lain.
Pertempuran masih berterusan kelmarin antara IS dan tentera Presiden Bashar Al-Assad di sekitar lapangan terbang tersebut, jelas badan pemantau itu.
Rusia memulakan kempen pengebomannya pada 30 September lalu bagi menyokong Bashar dan berikrar untuk meningkatkan serangan selepas IS mengaku bertanggungjawab mengebom sebuah pesawat Rusia yang terhempas di Mesir bulan lalu dengan menyebakan semua 224 penumpang dan krunya terbunuh.
Pada Jumaat lalu, kapal-kapal perang Rusia di Laut Caspian melepaskan bedilan peluru berpandu yang didakwa membunuh 600 militan IS.
Menurut badan pemerhati tersebut, serangan Rusia telah membunuh lebih 1,300 orang sejak ia dilancarkan, satu pertiga daripadanya ialah orang awam.
Dalam pada itu, laluan penerbangan keluar dan masuk ke Lebanon terpaksa diubah, manakala beberapa syarikat penerbangan membatalkan pernerbangan berikutan permintaan Moscow supaya mengelak daripada melalui ruang udara di timur Mediterranean berikutan serangan udara dan peluru berpandu Rusia. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3sGG2i600 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment