Kebimbangan jelas dirasai Turki dan Filipina yang masing-masing bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin G20 bermula esok dan Ahad serta Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 18 dan 19 November.
Turki meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar kawasan peranginan di bandar Antalya yang menjadi lokasi persidang­an itu dan dijangka menarik kira-kira 13,000 orang pengunjung.
“Kami telah melakukan pemeriksaan dan persediaan telah siap. Turki dan Antalya sedia untuk persidangan itu,’’ kata Menteri Dalam Negeri Turki, Selami Altinok.
Polis Filipina pada masa sama bersedia meningkatkan kesela­matan menjelang persidangan yang turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Semua anggota keselamatan di 7,100 pulau di negara itu sudah bersedia dengan sebanyak 20 pemimpin dijadual menghadiri perhimpunan tersebut.
“Kami dalam status bersiap sedia penuh di seluruh negara kerana APEC dan sebagai sebahagian daripada rutin selepas insiden yang berlaku di Paris,’’ kata jurucakap Ketua Polis Filipina, Wilben Mayor.
Singapura juga tidak ketinggalan meningkatkan tahap berwas­pada dan langkah keselamatan serta pemeriksaan sempadan ekoran serangan di Paris itu.
Menteri Dalam Negeri, K. Shanmugam berkata, serangan itu menunjukkan tidak ada satu negara pun kebal meskipun me­ngenakan kawalan keselamatan yang ketat.
Sementara itu di India, polis turut memantapkan kawalan ke­selamatan di bandar Maharashtra, barat India termasuk Mumbai yang sering dijadikan lokasi se­rangan pengganas.
“Semua unit polis diminta untuk menyemak dan mengkaji langkah kawalan di lokasi yang menjadi tumpuan ramai,’’ kata Ketua Polis Maharashtra, Praveen Dixit. – REUTERS/AFP/ BERNAMA