Wednesday 9 December 2015

8 imigran Syria tiba di Malaysia

Oleh SUHANA MD. YUSOP


 NUR Jazlan (baju biru) menyambut ketibaan lapan rakyat Syria yang selamat tiba di KLIA, Sepang semalam.

SEPANG – Kumpulan pertama rakyat Syria yang terdiri daripada lapan orang selamat tiba di Malaysia petang semalam bagi mencari perlindungan di negara ini. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ketibaan mereka merupakan sebahagian usaha Malaysia dalam membantu rakyat di negara bergolak itu mencari perlindungan yang selamat. Menurut beliau, kumpulan pertama ini terdiri daripada dua buah keluarga yang diterima memasuki negara ini selepas mereka membuat rayuan dengan alasan mempunyai ahli keluarga yang telah empat tahun tinggal di Malaysia. “Mereka yang tiba di sini ialah Mohamed Ibrahim, 29, bersama dua adik, ibu bapa manakala Ali Abdul Nasser, 30, bersama ibu bapa dan dua adik perempuannya,” kata beliau pada sidang akhbar selepas menyambut ke­tibaan rakyat Syria di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini semalam. Katanya, kumpulan lapan rakyat Syria itu selamat tiba di Malaysia pada pukul 4.50 petang dengan menaiki pesawat Turkish Airlines dari Istanbul. Nur Jazlan memberitahu, dalam menyelaras usaha memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria, kerajaan sudah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas diketuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dianggotai bersama beberapa agensi kerajaan berkaitan. Jelas beliau, selain permohonan daripada keluarga imigran yang sudah berada di sini untuk membawa keluarga masing-masing, pasukan petugas khas itu juga akan meneliti permohonan daripada Wisma Putra, kedutaan di negara-negara berhampiran Syria selain permohonan-permohonan daripada badan bukan kerajaan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3tm6r3vL0 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment