Saturday 26 December 2015

Syria setuju ke rundingan damai



WALID


BEIRUT – Kerajaan Syria kelmarin memaklumkan sudah bersedia untuk menyertai rundingan damai baharu di Geneva bagi menamatkan pe­perangan saudara, tetapi menetapkan beberapa syarat.
Menteri Luar Syria, Walid Muallem berkata, Damsyik sudah bersedia untuk turut serta dalam dialog Syria-Syria itu di Geneva tanpa sebarang campur tangan pihak luar.
Minggu lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara meluluskan satu resolusi menyokong cadangan pelan keamanan untuk membawa kerajaan dan pembangkang ke meja rundingan.
Pelan keamanan itu hasil usaha keras selama hampir dua bulan dalam kala­ngan diplomat 17 buah negara termasuk penyokong kerajaan Syria, Rusia dan Iran tetapi tidak memberi perhatian kepada perbezaan pa­ling besar antara kumpulan pembangkang dan kerajaan pimpinan Presiden Bashar Al-Assad.
Walid menegaskan kerajaannya masih menunggu senarai ‘pertubuhan pengganas’ yang tidak akan dibenarkan me­nyertai rundingan tersebut. Kerajaan Syria secara sistematik menggelar semua penentangnya sebagai pengganas.
“Syria menolak ‘campur tangan asing’ dan kumpulan rundingan kerajaan akan bersedia sebaik sahaja kami menerima satu senarai delegasi pembangkang,” kata Walid.
PBB menugaskan Jordan untuk membuat senarai delegasi rundingan yang telah dihantar semalam dengan mema­sukkan nama kumpulan Islamic State dan Barisan Al-Nusra yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.
Resolusi PBB itu menyeru rundingan damai pada awal Januari ini yang akan membawa kepada pembentukan satu badan pentadbiran peralihan inklusif de­ngan kuasa eksekutif penuh dalam tempoh enam bulan akan datang. – AFP

No comments:

Post a Comment