Friday 15 January 2016

Turki balas dendam

Ankara: Tentera darat Turki membedil hampir 500 kali ke atas kubu militan Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq, membunuh hampir 200 anggota militan itu.
Serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan di Istanbul Selasa lalu yang mengorbankan 10 pelancong Jerman, kata Perdana Menteri, Ahmet Davutoglu.
“Turki juga akan melakukan serangan udara ke atas kumpulan radikal Sunni itu sekiranya diperlukan dan kekal dengan pendirian tegasnya untuk memastikan IS meninggalkan kawasan sempadannya,” kata Ahmed pada persidangan duta Turki di Ankara.
Pengebom berkenaan meletupkan dirinya Selasa lalu di tengah sekumpulan pelancong di kawasan bersejarah di Istanbul. Kelmarin, Ahmed berkata, penyerang itu ialah anggota IS yang memasuki Turki dari Syria sebagai pelarian.
“Selepas kejadian Selasa lalu, hampir 500 tembakan meriam dilancarkan terhadap kedudukan Daesh di Syria dan Iraq,” kata perdana menteri itu, menggunakan istilah bahasa Arab untuk IS.
Dia juga berkata, hampir 200 anggota militan berkenaan terbunuh sepanjang 48 jam lalu.
“Selepas ini, setiap ancaman terhadap Turki akan dibalas sedemikian,” katanya.
Turki, anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan menyertai gabungan menentang IS yang diketuai Amerika Syarikat berulang kali menegaskan mahu mengusir IS dari zon di utara Syria yang berhampiran sempadan.
Kapal terbang perang Turki tidak terbang di ruang Syria sejak negara itu menembak jatuh sebuah jet Russia akhir November lalu hingga mencetuskan perbalahan diplomatik dengan Moscow, yang juga melakukan serangan udara di Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 8:00 AM


SEORANG lelaki meletakkan bunga teluki di lokasi letupan di Sultanahmet, Istanbul, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/107415#sthash.vsMARjMp.dpuf

No comments:

Post a Comment