Saturday 6 February 2016

Sangkut di sempadan

Damsyik: Puluhan ribu penduduk Syria terperangkap di sempadan Turki semalam selepas melarikan diri daripada serangan Russia dan tentera kerajaan yang berjaya menyekat laluan bekalan utama ke Aleppo, bandar terbesar Syria.
Negara Barat menuduh kerajaan Syria mensabotaj rundingan damai dengan serangan ketenteraannya, malah Washington mendesak Moscow menghentikan kempennya yang menyokong Presiden Bashar al-Assad.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu masih berusaha menghidupkan semula rundingan damai yang tergendala, dalam pada ketua NATO Jens Stoltenberg menuduh serangan udara Russia menggagalkan usaha mencari penyelesaian politik.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria menganggarkan 40,000 orang melarikan diri dari kawasan pertempuran di Aleppo.
Pengarahnya Rami Abdel Rahman berkata: “Ribuan orang, kebanyakannya keluarga dengan wanita dan kanak-kanak kini menanti untuk masuk ke Turki.”
Aleppo adalah antara kubu kuat penentang kerajaan Syria, yang kini berdepan serangan paling hebat sejak perang bermula pada 2011.
Kelmarin, Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu memberitahu persidangan di London bahawa 70,000 pelarian menuju ke negaranya untuk melarikan diri dari peperangan. Sejumlah 300,000 dipercayai terkandas di Aleppo.
Aktivis dan wartawan dari perkampungan Marea berhampiran, Maamoun al- Khateeb berkata: “Situasi di utara luar bandar Aleppo sangat teruk. Penduduk dikepung dari tiga penjuru dengan hanya satu jalan untuk sampai ke sempadan Turki.”
Katanya, tentera rejim mengancam dari selatan, Negara Islam (IS) di timur dan pejuang Kurdis di bahagian barat.
Ketegangan semakin memuncak apabila Moscow kelmarin menuduh Ankara bersiap sedia menyerang Syria selepas kononnya melihat anggota dan peralatan ketenteraan di sempadan.
Dakwaan itu dinafikan Ankara.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:03 AM


PELARIAN Syria menunggu berhampiran sempadan pintu pagar Oncupinar di Kilis, Turki.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/112827#sthash.qJVh8Yw4.dpuf

No comments:

Post a Comment