Tuesday 12 April 2016

Polis Macedonia cederakan pelarian


Lepaskan gas pemedih mata, peluru getah
12 April 2016 12:46 AM


Sebahagian pelarian membantu rakan mereka yang cedera susulan

Sebahagian pelarian membantu rakan mereka yang cedera susulan pertempuran dengan polis Macedonia di Idomeni, Greece, kelmarin. AFP
IDOMENI 11 April - Lebih 300 cedera apabila polis Macedonia melepaskan gas pemedih mata dan tembakan peluru getah ke arah pelarian yang cuba merempuh pintu sempadan Greece untuk ke negara tersebut, semalam.
Menurut saksi, insiden berlaku selepas beberapa orang pelarian cuba berunding dengan pengawal sempadan Macedonia, meminta supaya pintu sempadan menghubungkan dua negara tersebut dibuka.
Berang dengan tindakan pe­ngawal sempadan tersebut yang enggan melayan permintaan me­reka, kumpulan itu yang disertai lebih ramai pelarian menggempur pagar memisahkan sempadan berkenaan.
Saksi berkata, pelarian tersebut turut melempar batu ke arah polis Macedonia, memaksa pasukan keselamatan itu melepaskan gas pemedih mata dan tembakan peluru getah bagi memulihkan keadaan.
“Ada antara pelarian melontar semula tin gas pemedih mata ke arah polis Macedonia,” jelas saksi.
Pertubuhan kemanusiaan, Doctors Without Borders menya­takan, pihaknya merawat kira-kira 300 pelarian yang cedera dengan lebih 30 orang akibat ter­kena peluru getah.
Dalam reaksi kepada insiden itu, jurucakap Penyelaras Pendatang Greece, George Kyritsis mengutuk pendekatan kekerasan tersebut sebagai sesuatu yang keterlaluan.
“Penggunaan peluru getah dan gas pemedih mata terhadap golongan pelarian tanpa sebab yang munasabah amat dikesali.
“Kami menggesa pihak ber­­­­­ku­asa Macedonia memahami risiko penggunaan kekerasan terhadap golongan pelarian,” katanya.
Sejak Februari lalu, lebih 10,000 pelarian terkandas di Idomeni yang bersempadan dengan Greece dan Macedonia selepas pihak berkuasa menutup pintu sempadan di seluruh negara Balkan yang dijadikan laluan kepada pelarian untuk ke barat dan te­ngah Eropah. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/polis-macedonia-cederakan-pelarian-1.244564#sthash.E7M3sJP9.dpuf

No comments:

Post a Comment