Monday 10 October 2016

Genjatan senjata: Delegasi NGO Asean kutuk tindakan PBB


MARLIA ZAKARIA
9 OKTOBER 2016
Syria


Syria Gambar hiasan
SHAH ALAM - Perwakilan badan bukan kerajaan (NGO) Asean dan antarabangsa kesal apabila Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menolak usul gencatan senjata dan akses bantuan kemanusiaan ke Aleppo.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia jelas menunjukkan sikap tidak peka kuasa-kuasa besar terhadap Syria.

“Mereka menggunakan kuasa veto Majlis, menolak cadangan gencatan senjata dan akses bantuan kemanusiaan ke Aleppo.

“Kami mengutuk penolakan tersebut yang mencerminkan sikap tidak peka berperikemanusiaan kuasa besar terhadap rakyat tertindas di Syria,” katanya.

Sehubungan itu, pelan tindakan telah dirangka dalam satu mesyuarat yang diadakan di sini, hari ini.

“Beberapa program jangka pendek telah dirancang antaranya misi kemanusiaan,  Hari Protes ‘Hentikan Peperangan dan Tumpah Darah di Syria’ yang akan dilakukan di seluruh bandar-bandar utama di Asia, Perhimpunan wanita dan kanak-kanak untuk keamanan di Syria, serta surat khas akan dihantar kepada PBB, OIC dan Asean, supaya mereka bertindak.

“Untuk jangka masa panjang, pemimpin-pemimpin Arab, Amerika Syarikat, Iran dan Rusia dituntut menghentikan perang proksi dan Indonesia sebagai negara Islam terbesar juga akan di saran meminta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan persidangan khas selain mewujudkan Rangkaian Media Antarabangsa, berkempen untuk Syria,” katanya.

Tambahnya, dana sebanyak AS$1 juta (RM4 juta) turut di sasar bagi memenuhi misi bantuan khususnya musim sejuk di Syria yang dijangka mencapai suhu sejuk puncak sekitar Januari.

“Kami juga cuba mengumpulkan 1000 NGO  bagi memperkasakan usaha-usaha tersebut

“Selain itu, pemimpin Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Rusia akan dituntut menghentikan peperangan proksi di Syria yang telah menyebabkan lebih 11 juta orang dibunuh atau terpaksa meninggalkan rumah mereka,” katanya.

Katanya, peningkatan campur tangan luar secara terang-terangan menyebabkan konflik mazhab kini menjadi perang proksi kuasa asing.

“Kini Syria menjadi medan kuasa-kuasa besar merangsang kekuatan ketenteraan untuk memusnahkan negara sepenuhnya.

Selain itu katanya, kerajaan juga perlu mengambil inisiatif menyelesaikan isu tersebut dari akar umbi.

“Kami gembira Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada inisiatif bawa masuk pelarian.

“Tapi kita tak mendekati asas masalah ini yang pemimpin-pemimpin dunia tak buat. Nak harapkan Ngo buat misi sampai bila,” katanya.

No comments:

Post a Comment