Sunday 2 October 2016

PBB siasat konvoi makanan dibom






AGENSI - SEBUAH trak yang membawa muatan bekalan makanan dan bantuan kemanusiaan hangus selepas dibom oleh pesawat tentera di Aleppo, Syria pada 19 September lalu.

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), Amerika Syarikat – Setia­usaha Agung PBB, Ban Ki-moon kelmarin mengumumkan penubuhan sebuah lembaga siasatan untuk menyiasat serangan bom ke atas konvoi makanan di Syria.

Serangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh ketika konvoi berkenaan membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk di bandar Aleppo pada minggu lalu.

Beberapa pegawai Amerika Syarikat mendakwa beberapa pesawat Rusia telah melancarkan serangan udara pada 19 September lalu menyebabkan bedilan itu terkena ke atas 31 trak konvoi yang turut membawa makanan dan ubatan.

Konvoi itu dipercayai membawa bantuan kemanusiaan ke barat bandar Aleppo yang dikepung oleh tentera Syria.

“Panel dalaman PBB akan menentukan fakta kejadian dan melaporkan kepada Ki-Moon yang akan membuat keputusan untuk tindakan selanjutnya,” kata PBB dalam satu kenyataan.

PBB telah memberi amaran bahawa serangan ke atas konvoi bantuan adalah satu bentuk jenayah perang.

Ketua Bantuan PBB, Stephen O’Brien memberitahu Majlis Keselamatan pada Khamis lalu bahawa lokasi konvoi ber­kenaan telah ditandakan PBB dan Persatuan Bulan Sabit Merah Arab sebagai zon pembunuhan.

Malah, serangan ke atas konvoi di Urum al-Kubra itu telah meragut nyawa Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Arab, Omar Barakat termasuk 12 sukarelawan dan lima pemandu trak.

Sementara 15 pemandu lain cedera dan kebanyakan orang awam juga ce­dera selain terbunuh.

Sebuah gudang yang terletak berdekatan sebuah klinik turut musnah. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4LsCHsyPr
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment