Sunday 2 October 2016

Trauma si kecil



KANAK-KANAK itu dibawa ke hospital bersama beberapa yang lain selepas rumahnya menjadi sasaran serangan udara. - MailOnline



Agensi
Aleppo (Syria): Video budak kecil yang trauma dan enggan melepaskan pelukan jururawat yang merawatnya selepas rumahnya dibedil serangan udara di Aleppo disiarkan Persatuan Perubatan Amerika Syria (SAMS) untuk menunjukkan keperitan kanak-kanak yang menjadi mangsa perang negara itu.

Kanak-kanak berusia sekitar 2 tahun itu nyata trauma dan menangis tidak berhenti selepas dibawa ke hospital bersama keluarganya yang terselamat dalam kejadian itu selain tidak mahu berpisah dengan jururawat lelaki yang merawatnya.

“Rumahnya terkena serangan udara - kami tidak tahu sama ada ia oleh tentera Syria atau Russia.

“Inilah nasib kanak-kanak Syria setiap hari. Inilah seksaan dihadapi mereka,” kata laman web SAMS menggunakan #ChildrenOfSyria.

Katanya, 13 kematian direkodkan semalam dan lebih 40 orang cedera termasuk kanak-kanak. Lebih teruk lagi, cuma 29 doktor tinggal di timur bandar itu.

Jururawat, Mohamed Abu Rajab berkata: “Kehidupan di Aleppo semakin tidak dapat digambarkan menggunakan video atau tulisan.

“Aleppo dilupakan, diabaikan. Hospital tidak cukup kakitangan, doktor pakar dan perubatan,” katanya.

Sementara itu, semalam, hospital terbesar di timur Aleppo dibedil sekurang-kurangnya dua bom tong, hanya beberapa hari selepas dibedil serangan udara pada Rabu lalu.

Kejadian semalam dikecam Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon sebagai jenayah perang.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:13 AM

No comments:

Post a Comment