Monday 29 April 2013

Jeneral diarah guna senjata kimia



Zahir al-Sakit
BEIRUT 28 April - Seorang pegawai kanan tentera Syria berpangkat Jeneral, Zahir al-Sakit yang berpaling tadah, mendakwa beliau pernah diarah untuk menggunakan senjata kimia terhadap pemberontak dalam beberapa pertempuran.
Portal berita, al-Arabiya melaporkan Zahir sebagai berkata, beliau pernah diarah menggunakan senjata kimia dalam pertempuran antara askar Syria dan Tentera Pembebasan Syria (FSA) di Hauran, barat daya negara itu.
Zahir yang bertugas di cawangan senjata kimia tentera Syria memberitahu bahawa beliau melanggar arahan tersebut dan menukarnya dengan air terawat dikenali sebagai 'air Javel'.
''Saya diarahkan untuk menggunakan bahan kimia beracun di gua dan terowong yang digunakan oleh FSA, tetapi saya campurkan semua bahan kimia itu dengan air dan menggunakan air Javel sahaja,'' katanya dalam satu temu bual malam tadi.
Menurut Zahir, sebelum beliau mengambil tindakan berpaling tadah, tiada senjata kimia digunakan dalam pertempuran dengan FSA.
''Saya beri jaminan bahawa saya mengarahkan semua senjata kimia ditanam dan saya boleh menunjukkan di mana lokasi senjata itu berada,'' ujarnya.
Amerika Syarikat (AS) dan Britain sebelum ini menuduh kerajaan Syria menggunakan senjata kimia di Damsyik selepas siasatan ke atas sampel tanah yang diseludup menunjukkan kehadiran bahan kimia berbahaya.
Presiden AS, Barack Obama, kelmarin memberi amaran tindakan Syria menggunakan senjata kimia menukar 'corak permainan' selepas AS, Israel dan Britain menyatakan terdapat tanda-tanda Damsyik menggunakan senjata kimia dikenali sebagai agen sarin.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon sebelum ini meminta Syria membenarkan misi PBB menyiasat dakwaan penggunaan senjata kimia dalam konflik di negara itu yang bermula dua tahun lalu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130429/lu_07/Jeneral-diarah-guna-senjata-kimia#ixzz2Rrezq48B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment