Saturday 4 May 2013

AS timbang semula bekal senjata kepada penentang Bashar



Washington: Amerika Syarikat semalam menimbang semula sama ada untuk membekalkan senjata kepada penentang Syria ketika tentera Presiden Bashar al-Assad meningkatkan serangan terhadap kedudukan kumpulan berkenaan di Homs.

Setiausaha Pertahanan, Chuck Hagel bagaimanapun berkata, belum ada keputusan dicapai mengenai perkara itu. Bercakap kepada wartawan, Hagel juga enggan menyatakan pendapat peribadinya mengenai rancangan itu kecuali berkata, beliau lebih menyokong untuk mengkaji pilihan yang ada dan ‘melihat pilihan yang boleh diselaraskan dengan rakan antarabangsa kami.’ Ketika disoal mengenai kenyataan Hagel itu, Obama berkata, ia mewakili pandangan yang sudah diluahkannya sejak beberapa bulan lalu.


“Selepas melihat bukti mengenai pertumpahan darah secara berterusan dan kemungkinan penggunaan senjata kimia di Syria, apa yang telah saya katakan ialah kami akan mengkaji semua pilihan yang ada,” kata Obama pada sidang akhbar di Mexico.


Bagaimanapun, Obama menambah: “Kami ingin memastikan apa yang kami kaji sebelum mengambil keputusan bahawa apa yang kami lakukan itu benar-benar membantu keadaan.” Bekas Setiausaha Pertahanan, Leon Panetta memberitahu anggota Kongres bahawa beliau mencadangkan supaya bantuan tentera diberikan kepada penentang Syria, tetapi ditolak.


Spekulasi kini semakin meningkat bahawa pentadbiran AS akan mengkaji semula keputusan itu selepas pegawai berkata minggu lalu bahawa agensi perisikan AS kini percaya rejim Syria mungkin menggunakan senjata kimia secara kecil-kecilan. - AFP

No comments:

Post a Comment