Saturday, 18 May 2013

Askar Syria seksa orang awam



Beirut: Aktivis hak asasi menemui peralatan seksaan dan bukti lain penderaan dalam penjara kerajaan di bandar pertama Syria yang kini di bawah kawalan pembangkang, kata Human Rights Watch dalam satu laporan semalam.

Raqqa, di timur Syria ditawan pemberontak lewat Februari lalu ketika mereka berjuang menggulingkan Presiden Bashar Assad.
Pemberontak membantu kumpulan berpusat di New York itu untuk mengakses kemudahan yang pernah menjadi milik agensi keselamatan kerajaan dan perisikan tentera lewat April lalu.

Temui bukti fizikal

HRW berkata, penyelidiknya menemui bukti fizikal bahawa rakyat Syria diseksa, termasuk dengan alat yang dikatakan bekas tahanan digunakan untuk meregang atau membengkok tangan dan kaki mangsa.

Kumpulan itu juga menemui bukti menunjukkan penduduk Raqqa ditahan akibat perbuatan yang dianggap menyalahi undang-undang seperti bantahan atau membantu mangsa yang cedera.

Aktivis kumpulan hak asasi dan pembangkang sekian lama mendakwa orang awam ditahan tanpa didakwa, diseksa dan kadang kala hilang sejak pemberontakan ke atas rejim Assad bermula.
Penemuan HRW jelas satu daripada bukti penderaan fizikal terbesar yang menyokong dakwaan itu setakat ini.

Keterangan bekas tahanan

Dokumen, sel penjara, bilik soal siasat dan peralatan penderaan yang kami lihat dalam kemudahan keselamatan kerajaan adalah konsisten dengan keterangan bekas tahanan yang pernah diseksa kepada kami, kata Nadim Houry, timbalan pengarah Asia Barat HRW.

HRW mendokumenkan penderaan di kedua-dua pihak perang saudara Syria sepanjang konflik 26 bulan di negara itu.

Kumpulan berkenaan menemuramah sekurang-kurangnya lima orang yang pernah ditahan Perisikan Tentera di Raqqa.

Mereka disoal pegawai keselamatan mengenai aktiviti yang dijalankan termasuk sama ada mereka menyertai demonstrasi anti Assad, menyediakan bantuan kepada keluarga pelarian, mempertahankan tahanan dan menyediakan bantuan kepada penunjuk perasaan.
AP

No comments:

Post a Comment