Wednesday, 8 May 2013

Serangan udara Israel ragut 42 nyawa tentera


DAMSYIK 7 Mei - Serangan udara Israel ke atas Syria hujung minggu lalu membunuh sekurang-kurangnya 42 anggota tentera negara ini, kata seorang pemerhati, semalam.
Serangan itu sekali gus meningkatkan kebimbangan antarabangsa tentang konflik di Syria akan merebak selepas Damsyik memberi amaran akan bertindak balas.
''Sekurang-kurangnya 42 anggota tentera terbunuh dalam serangan itu manakala 100 lagi anggota yang biasa berada di lokasi serangan itu masih tidak dapat dikesan,'' kata Jurucakap Badan Pemantau Hak Asasi Syria, Rami Abdel Rahman.
Serangan pada pagi kelmarin berhampiran Damsyik itu merupakan serangan udara kedua Israel di Syria dalam tempoh 48 jam selepas pada Jumaat lalu mereka mengebom satu kemudahan gudang senjata di lapangan terbang ibu negara ini.
Seorang sumber kanan Israel berkata, serangan itu menyasarkan senjata Iran yang akan dihantar kepada kumpulan Hezbollah di Lebanon. Iran dan Hezbollah merupakan sekutu rapat Presiden Bashar al-Assad dan juga seteru utama Israel.
Sementara itu, seorang pegawai Syria di Damsyik ketika dihubungi memberi amaran bahawa Syria akan bertindak balas terhadap serangan Israel itu dan sedang memilih masa sesuai untuk berbuat demikian.
''Tindak balas itu mungkin tidak dilakukan dengan segera kerana Israel kini sedang berwaspada dan kami akan tunggu untuk membalasnya,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130508/lu_09/Serangan-udara-Israel-ragut-42-nyawa-tentera#ixzz2SfmK5Vmr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment