Ankara: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan (gambar) semalam menyifatkan serangan udara Israel ke atas Syria ‘tidak dapat diterima’ walaupun beliau turut menggesa komuniti antarabangsa bertindak terhadap pembunuhan rakyat negara itu oleh rejim Presiden Bashar al-Assad.
Kata Recep, tiada sebarang alasan dapat menghalalkan serangan rejim Zionis itu.
“Serangan itu adalah peluang keemasan untuk Bashar menutup pembunuhan beramai-ramai musuhnya,” katanya ketika berucap di depan wakil rakyat partinya bagi mengulas pencerobohan Israel ke atas Syria. Serangan udara rejim Zionis Ahad lalu mengorbankan ramai rakyat Syria dan Tel Aviv mendakwa kononnya ia disasarkan kepada bekalan senjata canggih yang cuba dihantar kepada kumpulan Hizbullah.
Recep berkata, Bashar cuba menutup keganasan berlaku di Banias - sebuah bandar di pinggir Laut Mediterranean - beberapa hari lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 100 orang awam.
Kata Recep, dia kehilangan kata-kata apabila melihat gambar kanak-kanak mangsa pembunuhan tentera Bashar di Banias.
“Saya tertanya-tanya berapa lama lagi komuniti antarabangsa akan membutakan mata terhadap kekejaman ini? “Celaka untuk polisi antarabangsa anda!” katanya. Recep turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu segera bersidang membincangkan pembunuhan di Banias.- AFP
No comments:
Post a Comment