Sunday 19 May 2013

Ular, kala jengking jadi masalah terbaru pelarian Syria



Zataari (Jordan): Selepas terselamat daripada ancaman bom, peluru dan serangan mortar, warga Syria yang berlindung di kem pelarian di Jordan kini berdepan dengan bahaya baru - ular, kala jengking dan ribut.

Tanpa perang, sesetengah pelarian menganggap nasib mereka tidak banyak berbeza daripada ketika mendiami Syria.


Di satu daripada khemah yang dipasang logo agensi pelarian PBB, penghuninya menaikkan papan tanda bertulis ‘Kem Maut’.

Seorang daripada penghuni di situ, Abu Sami berkata, jika di Syria mereka berdepan ancaman maut yang pantas akibat peperangan.


“Tetapi di Zataari, ia adalah kematian perlahan-lahan yang menyeksakan,” katanya.


Abu Sami, 30, dan ramai warga senasib dengannya kini berang dan menuntut kerajaan Jordan serta pihak yang berkaitan berusaha menambah baik situasi di kem pelarian berkenaan. Menurut bekas pemandu teksi dari Daraa itu, selepas cuba menyelamatkan diri daripada kancah perang, mereka kini berdepan penyeksaan baru. Sementara itu, Jordan berkata, peningkatan mendadak pelarian menyebabkan semua petempatan di sempadan dipenuhi, memaksa kerajaan membina khemah secara tergesa-gesa kira-kira 11 kilometer dari Syria.

Setakat ini Jordan menampung 150,000 pelarian perang Syria sejak tahun lalu. Selama beberapa bulan, Jordan enggan membina kem pelarian baru, dipercayai untuk mengelak daripada menyebabkan rasa marah rejim Presiden Bashar al-Assad. Amman juga bimbang jika Damsyik meluaskan gerakan menentang pemberontak sehingga ke wilayah Jordan. Kem pelarian di Zaatari dibuka pada 29 Julai lalu, dibina di kawasan padang pasir dan menempatkan kira-kira 3,300 pelarian.


Selain ancaman serangga berbahaya, penghuni kem itu juga terpaksa mengharungi cuaca panas pada waktu siang dan sejuk melampau ketika malam. - AP Jordan menyediakan makanan dan keperluan lain, manakala PBB memberikan khemah, selimut dan bekalan sampingan. Ketika ribut pasir berlaku, ia terjadi dengan serius dan penghuni kem itu terpaksa bernafas dalam kesukaran. - AP

No comments:

Post a Comment