Washington: Bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Robert Gates menolak cadangan campur tangan tentera negara itu di Syria dan memberi amaran, ia adalah langkah yang “silap.”
Dalam temubual dengan stesen CBS, Gates semalam berkata, kesan pembabitan tentera AS dalam krisis Syria tidak dapat dijangka dan merumitkan. “Saya rasa kita melakukan kesilapan di Libya dan saya rasa ia juga satu kesilapan di Syria walaupun AS melakukan campur tangan lebih ketara di negara itu setahun atau enam bulan lalu.
“AS memandang rendah kemampuan sendiri untuk menentukan kesannya,” katanya.
Gates berkhidmat sebagai Setiausaha Pertahanan AS pada 2011 ketika AS menyertai operasi udara diketuai Nato bagi menggulingkan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Komen Gates itu disiarkan ketika ada laporan menyatakan sebahagian senator AS mendesak Presiden Barack Obama supaya campur tangan di Syria bagi membantu pejuang antikerajaan di negara itu.
AS memang membekalkan pelbagai bantuan perisikan dan dana untuk militan yang beroperasi di Syria, manakala sekutu serantau mereka menyediakan senjata.
Syria mengalami krisis sejak Mac 2011 dan kekacauan itu mengorbankan puluhan ribu nyawa. Damsyik mendakwa kekacauan itu didalangi pihak dari luar dan ada laporan mengaitkan pejuang antikerajaan itu dianggotai warga asing. Rejim Presiden Bashar al-Assad menuduh Barat dan sekutunya, termasuk Qatar, Arab Saudi dan Turki menyokong militan terbabit. - Reuters
No comments:
Post a Comment