Sunday, 2 June 2013

Angka pelarian Syria cecah 1.6 juta

Angka pelarian Syria cecah 1.6 jutaRibuan penduduk Syria menjadi pelarian di kem Zatari di Jordan berhampiran sempadan Syria.
GENEVA - Agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu mendedahkan, angka pelarian Syria berlindung di Turki, Lubnan, Jordan dan Iraq kini mencecah 1.6 juta.

Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) Dan McNorton berkata, jumlah itu meningkat mendadak sekali gus membuktikan konflik di negara terbabit semakin meruncing.

“Ramai pelarian semakin melarat kerana kekurangan kemudahan asas dan perubatan. Mereka terpaksa mengabaikan aspek kebersihan hingga ramai kanak-kanak cirit-birit, mengalami masalah pernafasan, demam panas, jangkitan telinga dan penyakit kulit,” katanya.

Menurutnya, lebih daripada 100,000 pelarian menyeberangi sempadan Syria sejak dua minggu lalu.

“Kami percayai, tindakan mereka ini berkaitan dengan penggunaan senjata kimia dan kehadiran peluru berpandu yang dibekalkan kuasa asing kepada rejim,” katanya.

Sementara itu, di Beirut, pegawai keselamatan Lubnan melaporkan, sebanyak 16 roket dari Syria mendarat di timur Baalbek.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan banyak kemusnahan namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.

“Serangan itu dipercayai disasarkan Tentera Pembebasan Syria ke kubu kuat militan Hizbullah di Lubnan yang merupakan penyokong kuat Presiden Syria Bashar Assad,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment