Sunday 16 June 2013

Zon larangan terbang di Syria

BEIRUT 15 Jun - Amerika Syarikat (AS) mempertimbangkan untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Syria, selepas Washington mendakwa Damsyik menggunakan gas sarin dalam perang saudara di negara itu.
Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice berkata, penguatkuasaan larangan itu hanya terhad di bahagian selatan Syria yang bersempadan dengan Jordan.
"Cadangan menguatkuasakan zon larangan terbang merupakan sebahagian daripada kaedah membantu pemberontak memerangi tentera kerajaan Presiden, Bashar al-Assad.
"Namun keputusan untuk melaksanakan zon larangan itu masih dipertimbangkan," katanya hari ini.
Untuk menguatkuasakan peraturan itu, AS perlu memusnahkan senjata pertahanan udara Syria yang dibekalkan oleh Rusia.
Sementara itu, Rusia menegaskan, tindakan AS membekal senjata kepada pemberontak Syria akan menyebabkan konflik di negara berkenaan berpanjangan.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, konflik di Syria juga boleh merebak ke rantau berkenaan dan tuduhan AS yang mengatakan Damsyik menggunakan senjata kimia tidak meyakinkan serta tidak mempunyai bukti kukuh.
Semalam, AS mengumumkan akan menawarkan 'sokongan ketenteraan' kepada kumpulan pemberontak yang menentang Bashar selepas menuduh tentera kerajaan Syria menggunakan senjata kimia.
Dalam perkembangan lain, kumpulan Hezbollah yang berpangkalan di Lebanon berjanji akan meneruskan perjuangan bersama Bashar untuk menentang pemberontak selepas kejayaan menawan semula bandar strategik Quasyr pada minggu lalu.
Ketua Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah berkata, pihaknya akan berperang selagi diperlukan untuk menghapuskan pemberontakan di negara terbabit. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130616/lu_04/Zon-larangan-terbang-di-Syria#ixzz2WKGvuAmU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment