Friday 12 July 2013

Pemberontak Syria guna gas sarin - Duta Rusia

NEW YORK 10 Julai - Rusia semalam menyerahkan bukti penggunaan gas sarin oleh pemberontak Syria kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung satu serangan di Aleppo pada Mac lalu.
Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin berkata, pakar-pakar negara itu telah pergi ke lokasi serangan di Khan al-Assal berhampiran Aleppo dan mengumpul bukti.
Katanya, satu pasukan inkuiri Rusia berjaya 'membuktikan' pemberontak melancarkan peluru berpandu Bashair 3 di Khan al-Assal pada 19 Mac lalu yang mengorbankan 26 orang termasuk 16 tentera.
''Malah, keputusan analisis dengan jelas menunjukkan bahawa bahan yang ditemui di lokasi serangan itu bukannya buatan industri sebaliknya telah diisi dengan sarin.
''Terdapat banyak sebab untuk percaya bahawa pemberontak menggunakan senjata kimia dalam serangan di Khan al-Assal,'' katanya kepada media selepas menyerahkan laporan setebal 80 muka surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.
Tindakan Rusia itu mengundang risiko pertikaian antarabangsa berhubung isu penggunaan senjata kimia dalam konflik di Syria yang telah berlarutan selama 26 bulan.
Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) menolak dakwaan Rusia itu, manakala Perancis memperbaharui tuntutan mereka supaya Syria memberikan pegawai PBB akses bebas ke lokasi yang didakwa berlaku penggunaan senjata kimia.
Churkin dalam pada itu berkata, Rusia mempunyai maklumat bahawa peluru berpandu Bashair 3 dibuat oleh kumpulan Bashair al-Nasr yang dakwanya mempunyai kaitan dengan Tentera Pembebasan Syria.
Sementara itu, jurucakap PBB, Martin Nesirky berkata, mereka sedang mengkaji laporan Rusia itu.
Britain, Perancis dan AS berkata, mereka telah menyerahkan bukti kepada pakar-pakar PBB bahawa tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad menggunakan senjata kimia dalam perang saudara di Syria. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130711/lu_06/Pemberontak-Syria-guna-gas-sarin---Duta-Rusia#ixzz2Ymo0aGTu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment