Saturday 3 August 2013

22 maut gudang senjata meletup diserang roket

API menjulang tinggi selepas sebuah gudang menyimpan senjata meletup di wilayah Hom, Syria kelmarin.- Reuters


DAMSYIK - Seramai 22 orang maut selepas sebuah gudang senjata api meletup akibat serangan roket di bandar Homs kelmarin, kata sebuah kumpulan penentang dan sejumlah penduduk.
Serangan berlaku di daerah yang dikuasai oleh pemerintah Syria.
Beberapa letupan menyebabkan api menjulang tinggi ke udara. Ia juga mengakibatkan kerosakan teruk dan mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang kebanyakannya penyokong Presiden Bashar al-Assad.
Seorang pegawai di pejabat gabenor di Homs berkata, kira-kira 10 buah roket mengenai kawasan kejiranan Zahra dan berhampiran kompleks sukan.
Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata, berpuluh-puluh mangsa yang lain turut cedera.
Menurut seorang penduduk, letupan berlaku selama lebih sejam selepas dentuman pertama. Ia didakwa berlaku di daerah Wadi Dahab dan al-Walid.
"Sejumlah roket mengenai kawasan itu. Gudang senjata mula meletup tetapi, kami tidak pasti jika roket tersebut yang menyebabkan letupan," katanya.
Letupan di Homs berlaku ketika Bashar melawat sebuah bekas kubu kumpulan penentang dekat Damsyik sempena Hari Tentera Arab Syria kelmarin.
Lebih 100,000 orang terkorban sejak penentangan terhadap pemerintahan keluarga Bashar selama empat dekad di Syria bermula pada Mac 2011.
Pemberontakan itu kemudian bertukar menjadi perang saudara hingga memaksa berjuta-juta rakyat meninggalkan kediaman masing-masing. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2aroCpnzq 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment