Tuesday 24 September 2013

Assad arah Jeneral lancar serangan kimia

AMMAN 23 Sept. - Bekas ketua persenjataan Syria, Brigadier Jeneral Zaher al-Sakat mendakwa Presiden, Bashar al-Assad pernah mengarahnya melancarkan serangan senjata kimia sebanyak tiga kali ke atas rakyat negara itu.
Bagaimanapun, Zaher yang bertanggungjawab ke atas senjata kimia di selatan Syria mendakwa beliau tidak sanggup melakukannya dan menggantikan agen kimia itu dengan bahan tidak berbahaya.
“Presiden (Assad) mahu saya menggunakan gas berbahaya ke atas penentang kerajaan,’’ katanya dalam temu bual dengan akhbar The Sunday Telegraph, semalam.
Jeneral yang telah berpaling tadah dan kini menetap di Jordan itu percaya, kerajaan Syria melancarkan 34 serangan senjata kimia, berbanding 14 serangan yang dilaporkan sebelum ini.
Kerajaan Assad menafikan pihaknya mengarahkan penggunaan senjata kimia, namun mengaku memiliki senjata itu, selain bersetuju memusnahkannya dalam perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.
Zaher turut mendakwa Assad cuba ‘menipu’ dalam perjanjian itu dengan menghantar sebahagian daripada senjata kimia milik Syria kepada sekutunya di Lebanon dan Iran.
Jelasnya, beliau diarahkan untuk menyerang orang awam di daerah Sheikh Masqeen, Herak dan Busra yang dikawal penentang kerajaan menggunakan campuran dikenali sebagai phosgene dan gas berasaskan klorin, bahan yang kurang berbahaya berbanding gas sarin.
Bagaimanapun katanya, sebelum melancarkan serangan tersebut antara Oktober 2012 dan Januari lalu, beliau secara rahsia telah menukar bahan kimia berkenaan dengan campuran air dan bahan peluntur yang masih berbau seperti bahan kimia berbahaya, namun tidak beracun.
Zaher berkata, dia melarikan diri ke Jordan selepas orang atasannya mengesyaki sesuatu apabila tiada kematian berlaku dalam serangan tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130924/lu_06/Assad-arah-Jeneral-lancar-serangan-kimia#ixzz2fu8WMmc5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment