Sunday 29 September 2013

Resolusi 2118 diluluskan

Resolusi 2118 diluluskanMajlis Keselamatan PBB sebulat suara meluluskan Resolusi 2118 yang dirangka AS dan Rusia. Foto: EPA

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin sebulat suara meluluskan resolusi yang mengarahkan Syria menyerahkan bekalan senjata kimia mereka untuk dimusnahkan.

Keputusan itu dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) dan Rusia bersetuju untuk mengelakkan tindakan ketenteraan diambil ke atas Presiden Syria Bashar al-Assad.

Di bawah Resolusi 2118 itu, kesemua bekalan senjata kimia milik Syria perlu diletakkan di bawah kawalan antarabangsa menjelang pertengahan tahun hadapan.

Bagaimanapun, resolusi itu tidak menyatakan sekatan atau penalti yang akan dikenakan ke atas Syria jika mereka gagal mematuhi kandungan pelan terbabit.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut menyifatkan ia sebagai resolusi 'bersejarah' dan satu berita gembira buat Syria selepas terpaksa berhadapan dengan ancaman serangan daripada AS dan sekutunya, awal bulan lalu.

Sementara itu, kumpulan pemerhati hak asasi manusia (HRW) bertindak mengkritik keputusan Majlis Keselamatan PBB itu kerana didakwa gagal memberi keadilan kepada mangsa konflik di negara bergolak tersebut.

Pengarah HRW berpusat di New York, Philippe Bolopion menggesa PBB  mengemukakan perkara itu di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) selain meluluskan sekatan terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan beramai-ramai di Syria.

Dalam perkembangan lain, pemeriksa PBB memaklumkan mereka kini sedang melakukan siasatan terhadap tujuh kes penggunaan senjata kimia di sekitar Damsyik.

Menurut mereka, laporan dipetik dari AFP, siasatan tersebut dijangka dapat diselesaikan menjelang Isnin ini dan laporan penuh berhubung perkara itu akan diumumkan menjelang akhir bulan depan. 

No comments:

Post a Comment