Tuesday 1 October 2013

Presiden Syria setuju patuhi Resolusi 2118

Presiden Syria setuju patuhi Resolusi 2118Bashar (kanan) ketika diwawancara oleh wakil stesen Rai News 24 di Damsyik, kelmarin.

DAMSYIK - SYRIA. Presiden Syria Bashar al-Assad, kelmarin memberi jaminan akan mematuhi Resolusi 2118 yang mengarahkan negara itu menyerahkan bekalan senjata kimia mereka kepada kawalan antarabangsa untuk dimusnahkan.

Ketika diwawancara stesen televisyen Rusia, Rai News24, beliau turut memaklumkan bahawa keputusan beliau itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

"Kami telah menunjukkan komitmen dengan mengemukakan permohonan untuk menyertai Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) sebelum resolusi itu diluluskan," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, 16 termasuk 10 pelajar dilaporkan maut dalam serangan udara dilancarkan oleh tentera rejim Bashar menyasarkan sebuah sekolah menengah di bandar utara Raqa yang dikuasai Tentera Pembebasan Syria (FSA).

Menurut kumpulan pemerhati hak asasi manusia (HRW), serangan balas itu dilancarkan selepas FSA menggempur kedudukan tentera di Nasseriya al-Qalamun hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 19 askar terkorban manakala 60 lagi cedera.

Sementara itu menurut laporan AFP, kumpulan terdiri daripada 20 pemeriksa daripada OPCW dijangka tiba di Damsyik pada hari ini untuk mengadakan perbincangan berhubung pelaksanaan resolusi tersebut.

Minggu lalu, kumpulan pemeriksa PBB kembali semula ke Syria untuk melakukan siasatan lanjut bagi melengkapkan laporan komprehensif yang akan didedahkan kepada umum pada akhir bulan depan.

No comments:

Post a Comment