Wednesday 23 October 2013

Syria didakwa guna bom vakum


gambar yang diambil pada 16 Oktober lalu merakamkan aperintis pasukan pemeriksa senjata kimia PBB menjalani latihan sempena program pendidikan anjuran Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) di kawasan latihan tentera Jerman di Wildfelecken, selatan Jerman. OPCW yang memantau kemusnahan akibat penggunaan senjata kimia di Syria memenangi hadiah Nobel bagi usahanya memusnahkan senjata yang membawa kemusnahan besar-besaran. - AFP
LONDON 22 Okt. - Tentera Syria dilapor menggunakan senjata berbahaya yang lain dalam memerangi kumpulan penentang, walaupun sebelum ini mereka telah menandatangani perjanjian bagi menyerahkan senjata kimia untuk dimusnahkan.
Penyelidik Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia, Priyanka Motaparthy berkata, beberapa bukti dan laporan saksi yang diambil di kubu kuat kumpulan penentang kerajaan di pekan Raqqa, menunjukkan tentera Presiden Bashar al- Assad menggunakan bom vakum.
Bom vakum atau ODAB-500 PM merupakan peledak buatan Rusia yang mencetuskan letupan campuran udara dan minyak serta dipercayai digunakan oleh unit artileri, udara dan kereta kebal Syria untuk mengempur kumpulan penentang.
Bulan lalu, kumpulan kawalan senjata, Tindakan Terhadap Senjata Berbahaya menyenaraikan bom itu dan beberapa senjata lain termasuk kereta kebal T-72, mortar M240 dan roket Grad sebagai senjata berbahaya yang digunakan oleh tentera Syria
Pengkritik mendakwa bom terbabit yang pernah digunakan oleh tentera Rusia ketika memerangi pejuang Chechen di Chechnya dan Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan, kebiasaannya sering mengakibatkan kematian besar ke atas orang awam.
Tentera Syria turut didakwa menggunakan bom tong dan beberapa bom buatan sendiri, sekali gus menunjukkan tentera kerajaan tidak akan kekurangan bekalan senjata dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, kumpulan penentang Syria tidak akan menerima bekalan senjata dari AS dalam tempoh terdekat, selepas Qatar menghentikan penghantaran bekalan itu ekoran masalah kesesakan trafik.
Sumber Washington berkata, kumpulan penentang ketika ini hanya menerima beberapa jenis senjata ringan seperti rifel, manakala beberapa negara Eropah turut menghulurkan bantuan logistik lain seperti sistem radio dan baju kalis peluru.
Arab Saudi dan Qatar menyediakan bantuan senjata yang lebih berat termasuk peluru anti-kereta kebal dan anti-pesawat. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131023/lu_03/Syria-didakwa-guna-bom-vakum#ixzz2iXMux9wr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment