Saturday 9 November 2013

Keluarga bertemu Mursi

Keluarga bertemu MursiMursi (tengah) tampil di khalayak umum untuk pertama kali ketika perbicaraan beliau, Isnin lalu.

KAHERAH - MESIR . Keluarga bekas Presiden Mohammed Mursi, kelmarin bertemu dengan pemimpin itu untuk pertama kali sejak beliau digulingkan oleh tentera pada 3 Julai lalu.

Pertemuan selama sejam di penjara dengan kawalan keselamatan tinggi, Brog al-Arab berhampiran Iskandariah itu turut dipantau pegawai pusat tahanan tersebut.

"Bersyukur kepada ALLAH SWT kerana suami saya masih dikurniakan kesihatan yang baik. Keadaannya sama seperti ketika sebelum beliau dibawa pergi tentera.

"Malah, beliau juga kelihatan lebih yakin dan tenang untuk menghadapi ujian mendatang," kata isteri Mursi, Naglaa Ali kepada The Associated Press. 

Sementara itu, Osama, anak lelaki kepada pemimpin tersebut turut menyampaikan amanah bapanya kepada penduduk Mesir supaya meneruskan perjuangan yang menyaksikan kebangkitan semula rakyat di negara tersebut selepas insiden rampasan kuasa, kira-kira tiga bulan lalu. 

Difahamkan, sepanjang berada di pusat tahanan terbabit, Mursi banyak menghabiskan masa dengan membaca al-Quran dan turut dibenarkan membuat panggilan telefon untuk menghubungi keluarganya.

Dalam perkembangan lain, akhbar Al-Masry melaporkan bekas Presiden Hosni Mubarak mungkin akan dipenjarakan semula pada pertengahan bulan ini susulan daripada perubahan undang-undang penahanan yang dilakukan baru-baru ini, dipetik dari laporan AP

No comments:

Post a Comment