Saturday 23 November 2013

Syarikat swasta musnah senjata kimia Syria

Syarikat swasta musnah senjata kimia SyriaKira-kira dua pertiga bekalan senjata kimia milik Syria perlu dimusnahkan secara selamat.

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW), kelmarin meminta bantuan syarikat swasta untuk memusnahkan bekalan senjata kimia Syria.

Kenyataan itu dipaparkan menerusi laman sesawang organisasi tersebut bagi mengenal pasti mana-mana syarikat yang boleh membantu melupuskan kira-kira dua pertiga bahan beracun terbabit.

Pada 15 November lalu, Majlis Eksekutif OPCW meluluskan kandungan pelan akhir untuk memusnahkan bekalan senjata kimia Syria.

Di bawah perjanjian tersebut, kesemua bahan beracun tersebut akan dibawa keluar dari negara terbabit dan dilupuskan secara selamat.

Difahamkan melalui laporan Press TV, OPCW terpaksa membuat tawaran itu secara dalam talian selepas tiada pihak menawarkan diri untuk memusnahkan bekalan bahan berbahaya itu  di negara mereka.

Sebelum ini, organisasi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut bercadang untuk melupuskan kira-kira 798 tan bahan kimia dan 7.7 juta liter sisa toksik ke dalam laut.

Bagaimanapun, langkah itu belum diperincikan kerana OPCW belum menemui kaedah pelupusan secara teknikal. 

No comments:

Post a Comment