Wednesday 4 December 2013

Bashar lakukan jenayah perang


Beberapa anggota kumpulan penentang kerajaan, membantu rakan mereka yang cedera ditembak dalam pertempuran dengan tentera Syria yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad di sebuah kawasan perumahan di Aleppo pada 9 Oktober lalu. - REUTERS
DAMSYIK 3 Dis. - Siasatan dijalankan oleh sepasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang perang saudara Syria, menemukan bukti-bukti kukuh menyatakan Presiden Bashar al-Assad serta pegawai tertinggi negara ini melakukan jenayah perang dan kemanusiaan.
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Navi Pillay semalam berkata, siasatan sejak 33 bulan lalu itu dilakukan menerusi wawancara bersama lebih 2,000 saksi melalui telefon atau di kem- kem pelarian yang menempatkan penduduk Syria.
"Bukti yang kami dapati menunjukkan berlakunya jenayah kemanusiaan serius, jenayah perang serta jenayah menentang kemanusiaan.
"Jenayah ini melibatkan beberapa pemimpin atasan kerajaan Syria termasuk Bashar," katanya ketika ditemui di Geneva.
Ini merupakan kali pertama PBB mendakwa penglibatan Bashar dalam melakukan jenayah sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011.
Pasukan penyiasat terbabit yang dianggotai empat anggota PBB, ditubuhkan sebaik-baik perang meletus dan menuduh pihak tentera kerajaan serta kumpulan penentang terlibat dalam jenayah kemanusiaan.
Pillay berkata, nama-nama individu yang terlibat dalam kes jenayah berkenaan dirahsiakan buat masa ini sehingga siasatan antarabangsa dijalankan dan diserahkan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague untuk tindakan lanjut.
Beliau turut memberi amaran tentang usaha untuk memusnahkan stok simpanan senjata kimia Syria boleh mengaburi jenayah kemanusiaan yang berlaku di negara terbabit termasuk pembunuhan beribu-ribu penduduk dengan menggunakan senjata konvensional.
"Tahap jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh kedua-dua pihak sangat sukar dipercayai," katanya.
Dalam pada itu, laporan Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria menyebut, jumlah kematian akibat perang saudara di Syria setakat 1 Disember lalu meningkat kepada 125,835 orang dan 44,381 daripadanya merupakan orang awam termasuk 6,627 kanak-kanak dan 4,454 wanita. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131204/lu_03/Bashar-lakukan-jenayah-perang#ixzz2p467dITT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment