Thursday 27 June 2013

Lebanon tawan masjid sembunyi militan


Anggota-anggota tentera Lebanon membantu askar yang cedera akibat pertempuran antara pengikut pemimpin Sunah Sheikh Ahmad al-Assir dan pengikut Syiah di bandar Sidon, selatan Lebanon, kelmarin. - AGENSI
SIDON, Lebanon 25 Jun - Tentera Lebanon berjaya menawan sebuah masjid yang menjadi tempat persembunyian pemimpin radikal Sunah selepas berlaku pertempuran antara tentera dan pengikut pemimpin radikal itu yang menyebabkan 16 orang maut, kelmarin.
Tentera yang dibantu dengan kereta kebal menawan kompleks Masjid Bilal bin Rabah selepas dua hari bertempur dengan pengikut Sheikh Ahmad al-Assir, penyokong kuat pemberontak di Syria.
Beberapa media, bagaimanapun melaporkan, Sheikh Ahmad berjaya melepaskan diri dari kompleks itu petang semalam, tetapi lebih 40 pengikutnya terbunuh dalam pertempuran di daerah Abra di selatan Sidon.
Persatuan Bulan Sabit Merah Lebanon mengesahkan mereka telah memindahkan sekurang-kurangnya 20 mayat dari kawasan berhampiran masjid itu.
"Tentera Lebanon telah menawan wilayah Abra dan masjid yang sebelum ini dikuasai Sheikh Ahmad.
"Kami sedang menjalankan operasi pembersihan di pinggir Abra," kata seorang pegawai tentera yang enggan dikenali di Sidon, semalam.
Tentera Lebanon turut kelihatan mengiringi berpuluh-puluh lelaki yang berjanggut dengan sesetengah daripada mereka memakai pakaian tentera serta baju hitam, untuk dibawa ke dalam trak.
Seorang pegawai berkata, kira-kira 100 orang turut ditahan selepas tentera berjaya menawan kompleks tersebut. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130626/lu_08/Lebanon-tawan-masjid-sembunyi-militan#ixzz2XQEITyIt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment