Tuesday 7 January 2014

50 penentang kerajaan maut dibunuh ISIL


BEIRUT 6 Jan. - Sebuah kumpulan bersenjata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan al-Qaeda, membunuh sekurang-kurangnya 50 orang penentang kerajaan dalam kejadian terbaharu perang Syria, di sini, semalam.
Kejadian semalam berlaku pada hari ketiga pertempuran di antara kedua-dua pihak itu apabila penentang kerajaan didakwa menyerang hendap pusat pemeriksaan dan pangkalan yang dikendalikan oleh Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL).
ISIL juga dilapor menguasai beberapa laluan utama dan pondok kawalan keselamatan, langkah yang dilihat memberi kepentingan kepada pentadbiran Presiden Bashar al-Assad.
Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklumkan, seramai sembilan anggota ISIL turut terbunuh, semalam.
Kematian penentang kerajaan dilaporkan berlaku di wilayah Aleppo dan Idlib, di mana pertempuran bermula sejak Jumaat lalu.
Antara yang terkorban termasuk tujuh orang yang dijatuhi hukuman mati oleh ISIL.
Pertempuran tersebut turut berlaku di wilayah Raqa dan Hama, menyebabkan beberapa ahli kumpulan daripada kedua-dua belah pihak terkorban sejak tiga hari lalu.
Kumpulan pemantau yang berpangkalan di Britain itu menjelaskan, anggota kumpulan ISIL telah meletakkan senjata mereka dan berundur daripada sesetengah kawasan, namun tiada butiran lanjut mengenai perkara itu.
ISIL sebelum ini memasuki Syria pada akhir musim bunga tahun lalu, dua tahun selepas bermulanya pemberontakan terhadap Assad. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140107/lu_08/50-penentang-kerajaan-maut-dibunuh-ISIL#ixzz2pfENtymc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment