Thursday 23 January 2014

Dialog krisis Syria bermula


Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon (kanan) menyampaikan ucapan pada rundingan damai dikenali sebagai Geneva II di Montreux, Switzerland, semalam. Turut hadir ialah (kiri), utusan PBB-Liga Arab ke Syria, Lakhdar Brahimi. - AFP
MONTREUX, Switzerland 22 Jan. - Kerajaan Syria dan pembangkang negara itu buat kali pertama bertemu dalam rundingan damai dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, dengan kedua-dua pihak dilihat saling menyalahkan antara satu sama lain.
Mengeruhkan lagi keadaan, pemimpin-pemimpin kuasa dunia yang hadir, turut tidak sependapat tentang masa depan Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Pemimpin pembangkang, Ahmed Jarba menuduh kerajaan melakukan jenayah perang menyamai kekejaman Nazi Jerman dan menuntut supaya satu pelan peralihan kuasa di negara itu dipersetujui segera.
Menteri Luar Syria, Walid al-Moualem pula menegaskan, Assad tidak akan tunduk kepada tuntutan pihak luar, malah menyatakan bahawa kumpulan penentang kerajaan adalah 'pengganas' sebenar yang disokong negara Arab serta Barat.
Amerika Syarikat (AS) dan Rusia yang bersama-sama menganjurkan dialog itu turut berselisih pendapat dalam ucapan pembukaan rundingan tersebut yang berlangsung selama sehari, hari ini.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon yang bertegang urat dengan Walid apabila menteri itu bercakap melebihi masa ditetapkan sebanyak tiga kali, turut menggesa supaya akses kepada bantuan kemanusiaan dibenarkan segera ke kawasan-kawasan yang terkepung akibat perang saudara berkenaan.
"Selepas hampir tiga tahun penduduk Syria menderita akibat konflik ini, hari ini mungkin memberikan sedikit harapan. Cabaran yang hebat sedang menanti, tetapi boleh diatasi," katanya.
Negara-negara Barat dan Rusia dilihat mengenepikan perbezaan tentang sama ada Assad perlu membenarkan pembentukan kerajaan sementara dan menyokong rundingan damai itu sebagai cara menghentikan krisis di Syria.
Moscow dan Washington pula menegaskan, Assad perlu meletak jawatan secepat mungkin.
Pertemuan dikenali sebagai Geneva II yang turut dihadiri wakil Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Perancis dan negara-negara Arab itu, dibuat sehari selepas tersebarnya kira-kira 55,000 keping gambar penderaan dan pembunuhan dilakukan tentera Syria ke atas 11,000 tahanan.
Di sebalik rundingan damai yang diadakan, keadaan di Syria masih tidak berubah apabila tentera kerajaan terus melancarkan bedilan di seluruh negara termasuk bandar Aleppo, sehingga mengakibatkan kematian. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140123/lu_04/Dialog-krisis-Syria-bermula#ixzz2rAVdsw9H
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment