Saturday 4 January 2014

Kubu kuat Hezbollah diserang


Penduduk Lebanon menyaksikan kesan serangan bom kereta di Haret Hreik, selatan Beirut, kelmarin. - AFP
BEIRUT 3 Jan. - Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh, manakala 66 orang lagi cedera dalam satu serangan bom kereta di kubu kuat kumpulan militan Hezbollah di selatan ibu negara Lebanon, semalam.
Serangan terbabit berlaku di Haret Hreik dan angka kematian dijangka meningkat ekoran faktor kejadian berlaku ketika waktu puncak.
Imej yang disiarkan stesen televisyen Hezbollah, Al-Manar TV menunjukkan asap tebal menyelubungi kawasan kejadian dan anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran beberapa buah kereta akibat letupan.
Sebuah bangunan turut dilihat runtuh, selain beberapa buah lagi mengalami kerosakan teruk.
Koresponden al-Jazeera, Rula Amin melaporkan, serangan itu memberi tamparan hebat kepada keselamatan militan Hezbollah disebabkan kebanyakan bangunan terbabit adalah milik kumpulan tersebut.
"Serangan itu berlaku di tengah-tengah kubu kuat Hezbollah dan kawasan tersebut dianggap bukan lagi zon selamat," katanya.
Dalam pada itu, ketua pegawai media Hezbollah, Ibrahim Mousawwi berkata, beliau tidak mahu terburu-buru menuduh mana-mana pihak terlibat dalam serangan itu.
"Situasi di Lebanon pada masa ini terjejas akibat keganasan dan penyelesaian politik amat penting," katanya.
Serangan terbabit berlaku kira-kira seminggu selepas insiden letupan bom kereta di Beirut yang mengakibatkan bekas Menteri Kewangan, Mohamad Chatah dan enam yang lain maut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140104/lu_02/Kubu-kuat-Hezbollah-diserang#ixzz2pNmEFTf7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment