Friday 24 January 2014

Rundingan Syria belum tunjuk isyarat positif


Ahmed Jarba
MONTREUX, Switzerland 23 Jan. - Rundingan damai antara kerajaan Syria dan kumpulan pembangkang yang masuk hari kedua, di sini hari ini, tidak menunjukkan sebarang tanda positif selepas kedua-dua pihak enggan berkompromi untuk menyelesaikan konflik di negara itu.
Pertemuan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mungkin berlanjutan antara tujuh hingga 10 hari itu, bermula semalam dengan menyaksikan wakil kedua-dua pihak saling bertikam lidah tentang nasib Presiden, Bashar al-Assad.
Kekecohan semalam sekali gus memaksa wakil PBB dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi mengadakan pertemuan secara berasingan dengan wakil kedua-dua pihak hari ini bagi memastikan rundingan berjalan dengan lancar.
"Saya berharap kedua-dua pihak boleh duduk berbincang di dalam satu bilik menjelang tengah hari esok," katanya.
Walaupun harapan untuk menyelesaikan konflik perang saudara di Syria amat rendah, tetapi ramai pihak percaya kejayaan membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan merupakan langkah pertama yang penting dan positif.
Menteri Luar Syria, Walid al-Moualem dalam ucapannya menuduh kumpulan gabungan pembangkang, Majlis Kebangsaan Syria (SNC) sebagai 'pengkhianat' dan 'ejen asing' serta menegaskan Assad tidak akan berundur seperti yang dituntut oleh musuhnya.
"Mereka (pembangkang) mendakwa mewakili rakyat Syria, tetapi mereka tidak sepatutnya menjadi pengkhianat dan bekerjasama dengan musuh Syria," katanya.
Bagaimanapun ketua SNC, Ahmed Jarba menggesa kerajaan Assad agar segera menandatangani satu perjanjian yang dicapai pada persidangan damai di Geneva pada 2012.
Dalam perjanjian itu, Assad perlu menyerahkan kuasa pemerintahan termasuk tentera dan keselamatan kepada kerajaan peralihan.
"Jika perjanjian terbabit dimeterai, proses itu akan bermula dengan peletakan jawatan Assad dan perbicaraan atas jenayah yang dilakukannya," kata Ahmad.
Kira-kira 40 negara dan pertubuhan antarabangsa menyertai rundingan tersebut, namun tiada dialog secara terus dijangka berlangsung sehingga esok. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140124/lu_05/Rundingan-Syria-belum-tunjuk-isyarat-positif#ixzz2rGGBMYUO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment