Friday 7 February 2014

Penentang ikrar lancar serang balas


Beirut: Kumpulan penentang semalam mengumumkan kempen ketenteraan baru di wilyah Aleppo, utara Syria, beberapa hari selepas kerajaan meningkatkan serangan udara dalam usaha merampas semula beberapa kawasan dan memaksa penduduk berpindah dari lokasi dikuasai penentang.

Gabungan penentang terbesar Syria yang menamakan diri mereka Barisan Islam bergabung tenaga dengan Barisan Nusra cawangan al Qaeda di Syria untuk melancarkan serangan.


Tentera Presiden Bashar al-Assad baru-baru ini melancarkan beberapa serangan terhadap bandar Aleppo satu ketika dulu hab perniagaan Syria menggunakan bom tong iaitu tong minyak atau silinder yang dipenuhi bahan letupan dan serpihan besi.

“Semua pejuang yang berada di pangkalan masing-masing diarah bergerak ke barisan hadapan untuk menyertai serangan yang sudah dirancang,” kata barisan berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkannya, semalam.


Menurut kenyataan itu, penduduk berhampiran pusat pemeriksaan dan pangkalan tentera dikuasai kerajaan Syria mesti berpindah dalam tempoh 24 jam akan datang kerana kawasan berkenaan akan menjadi sasaran serangan mereka.


Tentera penyokong Bashar sejak kebelakangan ini menawan semula beberapa kawasan yang sebelum ini dikuasai penentang ekoran pertelagahan antara kumpulan itu.

Barisan Islam dan beberapa sekutunya yang lebih sekular kini turut berusaha menyingkirkan Kumpulan Negara Islam Iraq dan Levant yang mempunyai hubung dengan al-Qaeda. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

No comments:

Post a Comment