Thursday 13 February 2014

Proses pemindahan penduduk di bandar Homs diteruskan


Penduduk Syria berkumpul berhampiran kenderaan-kenderaan PBB sebelum mereka dipindahkan dalam satu operasi di bandar Homs, kelmarin. - AFP
DAMSYIK 13 Feb. - Proses mengeluarkan penduduk awam dan penghantaran bantuan kemanusiaan ke bandar Homs yang dikuasai kumpulan penentang kerajaan Syria bersambung semula semalam, ketika rundingan damai antara kedua-dua pihak di Geneva masih menemuikan jalan buntu.
Delegasi kerajaan Syria dan kumpulan pembangkang mengadakan pertemuan buat hari ketiga dalam pusingan kedua rundingan bagi mencari jalan menamatkan perang saudara di negara ini.
Namun, perbincangan itu menemukan kebuntuan apabila kerajaan enggan membincangkan pelan peralihan kuasa seperti yang dimahukan oleh kumpulan pembangkang.
Rundingan tersebut tidak memberi kesan positif dalam peperangan di Syria apabila Pertubuhan Pemantau Hak Asasi melaporkan purata sebanyak 236 kematian dilaporkan setiap hari sejak kedua-dua pihak memulakan perbincangan pada 22 Januari lalu, angka tertinggi sejak konflik perang saudara meletus hampir tiga tahun lalu.
Dalam pada itu, Gabenor Homs, Talal al-Barazi berkata, seramai 217 orang awam yang terperangkap dalam kawasan pertempuran, selamat dipindahkan dari bandar itu, sehari selepas bantuan kemanusiaan tertangguh.
"Operasi mengeluarkan orang awam berjalan dengan lancar," katanya.
Proses pemindahan yang dijalankan sejak Jumaat lalu, menjadikan lebih 1,400 daripada kira-kira 3,000 penduduk keluar dari bandar itu yang dikuasai kumpulan penentang selepas pihak terlibat bersetuju untuk membenarkan operasi kemanusiaan dilaksanakan.
Ketua operasi Pertubuhan Bulan Sabit Merah Syria, Khaled Erksousi berkata, pemindahan berkenaan dilakukan beberapa jam selepas 190 bungkusan makanan dan 4,700 peket tepung dibawa masuk ke Homs.
"Ada kanak-kanak di kawasan tersebut yang pertama kali melihat pisang dan situasi itu sangat menyedihkan.
"Malah situasi di situ menyebabkan pasukan sokongan psikologi kami perlu dirawat dari segi emosi mereka sebelum mereka menghulurkan bantuan kepada penduduk yang memerlukan," katanya.
Bagaimanapun pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap nasib kira-kira 336 penduduk lelaki berusia antara 15 dan 55 tahun yang ditahan oleh pihak keselamatan Syria sebaik-baik mereka keluar dari Homs.
Difahamkan, 111 daripada mereka telah dibebaskan baru-baru ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140214/lu_07/Proses-pemindahan-penduduk-di-bandar-Homs-diteruskan#ixzz2tErUP5ap
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment